Semasa

Restoran ini cari penebar roti canai,tawar Gaji mencecah RM 17,000 Sebulan

Sebuah restoran yang menawarkan menu masakan Malaysia di Australia, RotiBar dilapor sedang mencari penebar roti canai dan menawarkan gaji yang lumayan, lapor Mothership SG.

Dalam iklan yang dipaparkan di portal Seek, RotiBar yang beroperasi di Melbourne berkata mereka menawarkan peluang pekerjaan tersebut seiring dengan perniagaan mereka yang semakin berkembang.

Walaubagaimanapun, apa yang mencuri tumpuan adalah tangga gaji yang ditawarkan bagi jawatan tersebut. Berdasarkan deskripsi yang dinyatakan di portal Seek, gaji tahunan yang ditawarkan adalah diantara AUD 60,000 – 64,999 (RM 188,066 – 203,735).

Ini bermakna gaji bulanan yang ditawarkan adalah diantara RM 15,672 – 16,977.

Restoran ini cari penebar roti canai,tawar Gaji mencecah RM 17,000 Sebulan

Malah, restoran berkenaan turut menawarkan kemudahan tempat tinggal dan makanan disediakan.

Selain itu, RotiBar turut menetapkan beberapa syarat bagi mereka yang berminat untuk memohon.

Antaranya mempunyai pengalaman sebagai penebar roti canai dengan diwajibkan mempunyai pengetahuan asas dalam rutin berkenaan.

Mereka bagaimanapun akan membekalkan latihan bagi memastikan chef yang dilantik itu menepati standard restoran yang ditetapkan.

Mereka yang berminat juga perlu bersedia untuk bekerja dibawah tekanan, bertanggungjawab dan boleh menerima arahan serta perlu memiliki permit sah untuk bekerja di Australia.

Berdasarkan semakan di portal Seek tersebut, iklan berkenaan telah dimuat naik 26 hari lalu.

Hantaran ini telah pun tular di beberapa laman media yang bertapak di Malaysia. Kebanyakan netizen terkejut dengan tawaran gaji yang tinggi, sebahagian pula membandingkan gaji penebar roti canai di dalam negara.

“Saya tak sangka, penebar roti canai juga sudah menerima gaji di tahap yang profesional. Ini baru betul, kena dengan kemahiran,” kata salah seorang netizen di Twitter.

“Ada anak nanti, aku nak asah bakat anak aku jadi penebar roti canai yang berkualiti. Balik rumah boleh berlagak, tebar roti canai tapi pakai BMW,” kata seorang netizen dengan nada bergurau.

Sumber: Mothership SG, Seek