Semasa

Kenapa Perlu Ada ‘Cop’ SIRIM? Ini Jawab Mereka

Ekoran hangat isu pelitup muka yang memerlukan pengesahan daripada SIRIM, SIRIM hari ini menjawab persoalan orang ramai akan keperluan itu.

Menerusi satu kenyataan media rasmi mereka SIRIM menegaskan bahawa, kawalan kualiti ke atas pelitup muka bukan perubatan bertujuan memastikan pelitup muka bukan perubatan, sama ada keluaran tempatan atau yang diimport, mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

“Pada ketika ini, terdapat banyak pelitup muka bukan perubatan yang dijual di pasaran. Pengguna berhak untuk tahu bahawa produk yang dibeli adalah berkualiti tinggi, selamat dan berfungsi dengan baik.

“Ujian yang kami jalankan akan menentukan sama ada pelitup muka tersebut melindungi pemakai daripada sebarang jangkitan, serta selesa untuk dipakai selain membolehkan pemakai bernafas dengan mudah.

“…Kami membawa dedikasi dan penelitian sama untuk pelitup muka yang bukan sahaja berperanan penting dalam melindungi rakyat daripada Covid-19, tetapi juga akan terus diperlukan bagi tujuan kesihatan dan kebersihan awam,”Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Nur Fadhilah Muhammad.

Kenapa Perlu Ada 'Cop' SIRIM? Ini Jawab Mereka

Sehubungan itu, bermula 1 Januari 2023, pelitup muka bukan perubatan memerlukan pensijilan dan label SIRIM sebelum dijual di Malaysia.

Pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan adalah mandatori memohon pensijilan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International.

SIRIM menyatakan, keputusan itu dibuat susulan daripada kajian mendalam dan sesi dialog oleh KPDNHEP bersama Kementerian Kesihatan, Perbadanan Produktiviti Malaysia, Jabatan Standard Malaysia, Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

Perintah ini juga telah dimaklumkan kepada anggota Jawatankuasa Halangan Teknikal kepada Perdagangan (TBT) Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan tidak mendapat bantahan daripada 164 negara anggota WTO.

Syarikat pengeluar pelitup muka yang gagal mematuhi peraturan ini boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 bagi kesalahan kali pertama, yang boleh ditingkatkan sehingga RM500,000 bagi kesalahan-kesalahan berikutnya.

Manakala individu (pengilang/pengimport) boleh didenda sehingga RM100,000 bagi kesalahan kali pertama atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan-kesalahan seterusnya, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau dipenjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Kesemua denda itu tidak terpakai kepada pengguna.

Jenis-Jenis Topeng Muka yang Efektif Melawan COV-19

Topeng muka adalah kaedah paling mudah bagi menurunkan kadar penyebaran virus corona dan menyelamatkan nyawa.  Menurut Centers for Disease Control and Prevention, pemakaian topeng muka di tempat awam telah menunjukkan pengurangan penyebaran COVID-19, kerana individu yang mempunyai simptom boleh menyebarkan virus dengan mudah. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa topeng muka yang lebih efektif dari yang lain.

Topeng muka kain/fabrik:

Topeng muka kain/fabrik memerangkap zarah-zarah yang dilepaskan oleh individu apabila bersin, batuk atau bercakap. Ianya membantu mengurangkan penyebaran virus, mudah didapati atau dibuat dan boleh dibasuh untuk dipakai semula. Penting bagi pemakai untuk tidak sentuh topeng muka mereka dan jika tersentuh perlulah segera memakai hand-sanitizer atau mencuci tangan. Jika topeng muka tersebut basah atau kotor, pemakai perlulah menukar yang baharu. Topeng muka jenis ini tidak boleh dikongsi.

Topeng muka pembedahan:

Topeng muka pembedahan juga dikenali sebagai topeng muka perubatan. Ianya melindungi hidung dan mulut daripada zarah-zarah yang membawa kuman. Ianya direka untuk melindungi pemakai daripada semburan atau percikan yang boleh memasuki hidung dan mulut pemakai. Topeng muka ini juga boleh menapis keluar zarah besar di udara dan memastikan zarah dari pemakai tidak disebarkan. Topeng muka ini boleh digunakan sekali sahaja.

Topeng muka N95:

Topeng muka N95 memberi perlindungan lebih tinggi daripada topeng muka pembedahan dan topeng muka kain/fabrik kerana ia boleh menapis keluar zarah besar dan kecil semasa pemakai bernafas. Ia dinamakan topeng muka N95 kerana direka untuk menghalang 95% zarah atau cecair dari luar ke muka pemakai. Bagaimanapun, topeng muka ini bukan untuk kegunaan awam dan perlu dikhaskan untuk pegawai perubatan. Ia juga tidak sesuai untuk kanak-kanak dan individu yang mempunyai janggut atau jambang.  Pegawai perubatan telah menguji dengan tepat untuk topeng muka ini, dan seperti topeng muka pembedahan, ia hanya boleh digunakan sekali sahaja, walaupun para penyelidik memeriksa cara yang berkesan untuk membersihkan topeng ini.

Topeng muka dengan injap:

Topeng muka ini memudahkan pemakai untuk bernafas, tetapi pemakai tetap akan melepas kuman melalui zarah yang dilepaskan ke persekitaran mereka. Kebanyakan bahagian perubatan seluruh negara telah melarang penggunaan topeng muka  dengan injap. Ia melindungi pemakai, tetapi tidak melindungi orang disekeliling pemakai. Jika pemakai mempunyai simptom, ia boleh merebak dengan mudah kepada orang disekeliling. Oleh kerana sebab utama pemakaian topeng muka adalah untuk melindungi orang lain, topeng muka yang mempunyai tapisan adalah pilihan yang lebih baik.

Sumber: sirim.my