Semasa

‘Saya tak pernah berangan hendak jadi jutawan’ Ini tindakan pengusaha kedai selepas pakar sahkan bukan muntah ikan paus

KEMAMAN – Pengusaha kedai makan yang menjumpai ketulan batu berlilin pada akhir bulan lalu akur dengan keputusan analisis dikeluarkan Jabatan Perikanan Terengganu yang mengesahkan objek itu bukan muntah ikan paus.

Begitupun, Aida Zurina Long, 41, bersedia untuk melakukan ujian semula bagi menentukan ketulenan objek tersebut sekiranya terdapat pakar-pakar lain yang berminat.

Beri Sampel kepada pihak lain

“Saya bersedia untuk memberi sampel batuan berlilin ini kepada mana-mana pihak yang mahu mengujinya.

“Sejujurnya saya tidak kecewa apabila dimaklumkan ia bukan tulen kerana tidak menaruh harapan tinggi sejak awal lagi. Saya anggap ini bukan rezeki keluarga kami,” katanya ketika ditemui di kedai makannya di Kemasik di sini semalam.

Aida Zurina memberitahu, dia tidak pernah berangan untuk menjadi jutawan, sebaliknya niat asalnya untuk mengetahui kan­dungan sebenar bagi memuaskan hati sendiri.

Buktinya, wanita itu berkata, dia tidak menjual ketulan tersebut pada hari pertama ditemui biarpun pernah ditawarkan harga lumayan oleh banyak pihak sebelum ini.

“Saya akan terus menyimpan objek ini sebagai kenangan berharga. Lagipun sejak penemuan ketulan berlilin ini tular di media sosial, pelanggan yang datang ke kedai makan semakin bertambah saban hari,” katanya.

Tambah Aida Zurina, disebabkan itu, dia terpaksa me­lanjutkan operasi perniagaan sehingga pukul 10 malam setiap hari sejak minggu lalu.

‘Saya tak pernah berangan hendak jadi jutawan’ Ini tindakan pengusaha kedai selepas pakar sahkan bukan muntah ikan paus

Sah bukan muntah ikan paus

Dungun: Jabatan Perikanan Terengganu mengesahkan ketulan yang ditemukan wanita ketika memancing, baru-baru ini, bukan muntah ikan paus atau ambergris.

Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat berkata, pengesahan itu hasil uji kaji dijalankan pihak penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menurutnya, pihaknya membuat persampelan daripada ketulan yang ditemui itu pada 15 Disember lalu untuk dianalisa oleh makmal UMT.

“Hasil uji kaji dijalankan menunjukkan bahawa tiada kehadiran tiga bahan aktif iaitu ambrein, epicoprosterol dan coprostanone di dalam ketulan itu.

“Tiga bahagian itu menjadi elemen penting kepada ketulenan sesuatu sampel ambergris dan perbandingan kandungan dengan muntah ikan paus tulen,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebaik keputusan dibuat semalam, satu perbincangan antara Jabatan Perikanan dan UMT dilaksanakan dan ia juga disahkan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan UMT, Prof Madya Dr Hasrizal Shaari.

“Kandungan yang dijumpai pada sampel itu mendapati ketulan itu terbentuk daripada pengumpalan bahan organik seperti asid lemak lalu membentuk ketulan berfibre.

“Secara saintifiknya, peratusan terbanyak yang terkandung dalam ketulan itu ialah pyrazole (94.56 peratus) dan pyrrole (3.34 peratus). Muntah ikan paus tulen mempunyai struktur seperti batu kapur dan secara fizikal juga menunjukkan ada perbezaan dengan muntah ikan paus tulen,” katanya.

Ruzaidi berkata, analisa termal juga turut dilaksanakan iaitu ketulan yang ditemui mempunyai titik cair (Melting Point) pada suhu 76.4 celcius manakala muntah ikan paus tulen mempunyai titik cair 82.32 celcius.

“Dakwaan mengatakan ketulan itu mengeluarkan bau wangi adalah dari kompaun 1H-pyrazole (asid lemak) yang terdapat pada ketulan itu dan kompaun ini adalah salah satu struktur heterocycle aromatic dan berbau apabila dibakar,” katanya.

Katanya, berkaitan isu perdagangan antarabangsa bagi muntah ikan paus tertakluk kepada Akta 686 iaitu perdagangan antarabangsa mengenai spesies terancam dan memerlukan permit CITES daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Muntah ikan paus termasuk hasil bahan terbitan ikan paus sperma (Physeter catodon/microcephaly). Tanpa permit CITES , boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau didenda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-dua sekali,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Aida Zurina Long, 41, mendakwa menemui muntah ikan paus seberat lebih lima kilogram ketika memancing bersama keluarganya di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Marang, November lalu.